Saturday, February 3, 2018

SYAIR TUN TEJA

SYAIR TUN TEJA

Tersebutlah kisah suatu cerita
Negeri Melaka indah di mata
Sultan Mahmud di atas tahta
Seluruh rakyat mendengar kata

Tun Teja Ratna Benggala
Anak Bendahara tiada cela
Dari Pahang kisahnya bermula
Kerana cantik banyak yang gila

Raja Melaka muda bestari
Tun Teja ingin diperisteri
Kepada Hang Tuah baginda berperi
Bawakan beta payung negeri

Terlalu elok rupa parasnya
Disebut orang indah namanya
Raja Terengganu jadi tunangnya
Direbut-rebutkan kerana kecantikannya

Tun Teja puteri remaja
Hendak disunting oleh raja
Kasihnya pada Hang Tuah saja
Termenunglah dia bermuram durja

Hang Tuah pahlawan setia
Titah raja tidak dipersia
Dibawanya Teja bersuka ria
Cair hatinya mahulah ia

Hasrat hati ditolak ke tepi
Biar rahsia disimpan rapi
Meski pun hati terasa sepi
Anggaplah ia sebagai mimpi

Hang Tuah mengguna helah
Kepada raja Teja dipersembah
Diguna-guna Teja pun rebah
Diperisteri raja tidaklah dibantah

Sultan Mahmud hendak berundur
Kesultanan Melaka hampir berkubur
Musuh menyerang habislah kabur
Tun Teja pula semakin uzur

Sewaktu merentas denai dan hutan
Gering Tun Teja jadi menungan
Direhatkan atas sebuah hamparan
Pangkalan Samak tempat dimakamkan

Begitulah tuan kisah dan kias
Cerita penglipur indah berhias
Cucu dan cicit kena tempias
Molek susunan tata dan rias