SYAIR IKAN TERUBUK
Mula dikarang ikan terubuk
Lalai memandang ikan di lubuk
Hari dan jantung bagai serbuk
Laksana kayu dimakan bubuk
Asal terubuk ikan puaka
Tempatnya konon di laut Melaka
Siang dan malam berhati duka
Sedikit tidak menaruh suka
Pagi petang duduk bercinta
Berendam dengan airnya mata
Kalbunya tidak menderita
Kerana mendengar khabar berita
Pertama mula terubuk merayu
Berbunyilah guruh mendayu-dayu
Senantiasa berhati sayu
Terkenangkan puteri ikan puyu-puyu
Puteri Puyu-puyu konon namanya
Di dalam kolam konon tempatnya
Cantik mejelis barang lakunya
Patutlah dengan budi bahasanya
Kolamnya konon di Tanjung Padang
Di sanalah tempat Terubuk bertandang
Pinggangnya ramping dadanya bidang
Hancurlah hati terubuk memandang
Setelah hari hampirkan senja
Puteri bersiap hendak memuja
Jika sungguh asalku raja
Disampaikan Allah barang disaja
Selang tidak berapa antara,
Turunlah ribut dengan segera,
Kilat dan petir tidak terkira,
Datuk nenek turun dari udara.
Membawa sepohon batangnya pulai,
Datangnya dari Tanjung Balai,
Eloknya tidaklah ternilai,
Puteri melihat hairan terlalai.
Pulainya rendang dengan rampaknya
Di tengah kolah terdiri dianya
Sampailah waktu dengan janjinya
Puteri melompat ke atas pucuknya
Terubuk berenang lalu ke laut
Sekalian ikan ramai yang mengikut
Hati di di dalam terlalu kusut
Bagaikan datang rasanya takut